Setakat pukul 8 pagi ini, terdapat 1,682 keluarga ditempatkan di 32 pusat pemindahan termasuk dua yang baharu dibuka di Serian dan Bintulu.


Jumlah mangsa terjejas akibat bencana itu semakin bertambah berbanding 4,618 orang daripada 1,369 keluarga direkodkan pada petang semalam.


Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Mejar Ismail Mahedin berkata, bahagian paling terjejas ketika ini ialah Samarahan yang mencatatkan 1,483 mangsa daripada 448 keluarga terpaksa dipindahkan.


“Seterusnya di Bintulu apabila 1,321 mangsa daripada 379 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan, diikuti Serian dengan 1,227 mangsa daripada 389 keluarga.


“Turut terjejas ialah Sibu yang merekodkan 978 mangsa, Limbang (453), Mukah (92) dan Sarikei (lapan),” katanya dalam kenyataan di sini pagi ini.


Beliau berkata, jumlah sekolah ditutup akibat banjir juga bertambah kepada 55 buah hari ini berbanding 44 buah semalam, manakala 11 buah lagi ditutup untuk dijadikan pusat pemindahan.


Katanya, penutupan sekolah terbabit memaksa sesi persekolahan dibatalkan, sekali gus menjejaskan 6,637 murid dan pelajar, 857 guru serta 332 kakitangan sokongan.


Sementara itu, katanya, banjir turut menjejaskan 16 klinik kesihatan menyebabkan lima buah tidak dapat beroperasi, manakala lapan masih dibuka kerana paras air belum berada pada peringkat bahaya.