Melaka mencatatkan jumlah mangsa paling ramai apabila 476 penduduk daripada 117 keluarga di Alor Gajah iaitu dari Kampung Gadek, Pengkalan, Masjid Ar-Rasidin, Kampung Panchor, Kampung Beringin, Belimbing Dalam dan Kampung Bukit Balai terpaksa dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan yang disediakan sejak pukul 12.30 tengah malam tadi.

Pegawai Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Alor Gajah, Leftenan Muda Mohammad Fairul Asikin Kadir berkata, tujuh buah pusat pemindahan telah dibuka iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan, dewan Masjid Ar-Rasidin, Balai Raya Kampung Gadek, SMK Belimbing Dalam, Balai Raya Kampung Beringin, Balai Raya Kampung Panchor dan Balai Raya Kampung Bukit Balai.

“Mangsa terdiri daripada 41 keluarga ditempatkan di SMK Pengkalan; 22 keluarga di dewan Masjid Ar-Rasidin, Balai Raya Kampung Gadek (25 keluarga), SMK Belimbing Dalam (17), Balai Raya Kampung Beringin (7), Balai Raya Kampung Panchor (3) dan Balai Raya Kampung Bukit Balai (2).

“Penduduk mula dipindahkan apabila paras air di kawasan rumah mereka naik sehingga 0.3 meter,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun sehingga pukul 6 petang ini, dua buah pusat pemindahan iaitu SMK Pengkalan dan Balai Raya Kampung Gadek telah ditutup dan mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing manakala lima lagi pusat pemindahan masih dibuka dan paras air di sekitar kawasan itu difahamkan semakin surut.

Sementara itu, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron turut melawat sebahagian daripada mangsa banjir di SMK Pengkalan dan meminta semua mangsa supaya sentiasa mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

Dalam pada itu, seorang mang­sa banjir, Rohana Harun, 60, yang tinggal di Kilometer 27.3 (Batu 17) Kampung Pengkalan berkata, air naik mendadak sejak pukul 8 malam hingga ke paras pinggang.

Panik dengan keadaan itu katanya, dia segera berkemas dan menyelamatkan segala peralatan rumah, namun tidak sempat menyelamatkan beberapa barang seperti mesin memproses ayam dan beberapa ekor ayam ternakannya.

Seorang lagi mangsa, S. Valiamah, 61, berkata, dia bernasib baik apabila jiran sempat memanggilnya mengatakan kawasan sekitar rumahnya sudah ditenggelami air.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 443 orang daripada 108 keluarga setakat pukul 5.30 petang berbanding 309 mangsa daripada 77 keluarga pada pagi ini.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, satu pusat pemindahan baharu turut dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Abdul Samad, Kapar, Klang yang menempatkan 33 mangsa daripada tujuh keluarga menjadikan lapan pusat pemindahan dibuka di seluruh Selangor.

“Pusat penempatan di Surau Kampung Lembah Paya, Sepang merekodkan jumlah mangsa teramai dengan 172 orang daripada 42 keluarga diikuti di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang (111 orang).

“Pusat penempatan lain ialah di Surau Ladang Tuan Mee, Kuala Selangor (37 orang), Taman Gemilang di Dengkil (23 orang), Balai Raya Salak Lama, Kampung Salak Tengah di Sepang (29 orang), Balai Raya Kampung Baru Salak Tinggi di Sepang (21 orang), Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Kampung Kuantan di Klang (17 orang),” katanya dalam satu kenyataan.

Di PERAK, seramai 87 mangsa banjir membabitkan 20 keluarga dari Kampung Layang-Layang Kiri, Parit di Perak Tengah masih ditempatkan di pusat pemindahan di Surau Nurul Jannah, Parit Layang-Layang Kiri setakat pukul 12 tengah hari ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Yahya Madis berkata, kesemua mangsa banjir terdiri daripada 28 lelaki dewasa, 29 wanita dewasa, 16 kanak-kanak lelaki dan 14 kanak-kanak perempuan.

Mereka dipindahkan sejak petang semalam akibat hujan lebat mengakibatkan air naik setinggi 0.3 hingga 0.5 meter, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, hanya satu pusat pemindahan dibuka manakala sebanyak 67 mangsa dari Kampung Talang dan Kampung Serapoh, di Perak Tengah, sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak dua hari lepas apabila kediaman mereka selamat diduduki.

Kesemua mangsa banjir dibantu oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, JPAM, Rela dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Di JOHOR, hujan lebat menyebabkan dua buah kampung di daerah Ledang dinaiki air setinggi 0.3 meter, memaksa 29 mangsa banjir daripada tiga keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir malam tadi.

Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin berkata, kesemua mangsa banjir dari Kampung Parit Ponorogo dan Kampung Tanjung Gading itu ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Bunga untuk membolehkan mereka mendapat bantuan.

“Mangsa dipindahkan ke surau dan balai raya kampung masing-masing pukul 9 malam tadi sebelum semuanya dipindahkan ke SK Parit Bunga pukul 2 petang ini. Banjir di­sebabkan hujan lebat dan air pasang yang berlaku serentak,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Walau bagaimanapun, seramai 61 orang daripada 12 keluarga mangsa banjir kilat di Pontian semalam dibenarkan pulang selepas banjir pulih petang ini dan mereka dari Kampung Makam, Permas dan Kampung Parit Abdul Rahman dibenar pulang secara berperingkat sejak pukul 11 pagi.