Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan (Maik), Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi dan Ketua Jajahan Machang, Che Ramli Che Soh.

Sementara itu, Ahmad berkata, jumlah keseluruhan penerima bantuan itu melibatkan 15 keluarga dan bakinya akan diteruskan pada fasa kedua dalam masa terdekat.

Menurutnya, pemilihan sembilan buah keluarga bagi fasa pertama ini melibatkan rumah yang mengalami kerosakan teruk akibat banjir lumpur di Kampung Bukit Besi pada hujung 2016 dan awal tahun 2017.

“Kesemua 15 buah rumah itu melibatkan 0.4 hektar tanah dan setiap keluarga yang terpilih telah menerima sebuah rumah yang bernilai RM38,000.

“Kita harap dengan bantuan ini dapat meringankan beban mangsa yang terjejas teruk akibat bencana itu,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Daud Deraman, 61, berkata, dia amat gembira apabila dapat memiliki rumah sendiri setelah kehilangan rumah akibat banjir lumpur pada penghujung 2016.

“Sebelum ini, kami terpaksa menyewa dekat Kampung Bukit Besi. Walaupun keadaan rumah agak kecil namun kami tiada pilihan lain.

“Walau bagaimanapun, kehidupan kami bakal berubah seperti sedia kala dengan bantuan ini yang jelas lebih luas dan selesa. Saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu,” katanya.

Bagi seorang lagi penerima, Nor Laila Abd Wahab, 47, berkata, tiada ungkapan lain yang dapat diluahkan selain terima kasih kepada kerajaan yang menyediakan rumah baharu kepada mangsa banjir di sini.

“Sudah hampir 11 bulan kami tujuh beranak hidup menumpang di salah sebuah rumah kosong di sini. Saya bersyukur akhirnya penantian untuk memiliki rumah sendiri tercapai,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE