Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah, Mohd. Yussalmi Mohd. Yusoff berkata, pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Kasturi juga ditutup pada pukul 11 pagi ini.

Katanya, mangsa mula pulang ke rumah masing-masing bermula pukul 7 pagi tadi selepas keadaan beransur pulih.

“Kami menasihatkan penduduk di kawasan terlibat agar sentiasa berwaspada ketika cuaca hujan.

“Air Sungai Galas di kampung ini meningkat dengan cepat dan penduduk harus berpindah ke kawasan selamat jika air kembali naik.

“Ketika ini hujan masih lagi turun di kawasan pedalaman dan bandar ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, seorang mangsa banjir, Zainudin Husin, 39, berkata, dia bersama empat ahli keluarganya pulang ke rumah pada pagi ini.

Katanya, seperti kebiasaan, rumahnya dipenuhi lumpur selepas banjir surut.

“Sudah empat kali dalam tempoh setahun rumah kami bersalut lumpur. 

“Kami sudah tidak larat untuk menukar perabot rumah kerana bimbang banjir melanda lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE