Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Mejar Ismail Mahedin berkata, jumlah mangsa berada di pusat pemindahan itu menunjukkan peningkatan berbanding 3,231 orang, semalam.

Katanya, pertambahan mangsa menyebabkan pusat pemindahan turut ditambah sebanyak enam lagi menjadi 26 buah berbanding 20 buah yang dibuka sebelum ini.

"Namun, keadaan cuaca bertambah baik hari ini menyebabkan jumlah mangsa semakin berkurangan pada sebelah petang berbanding 4,887 orang yang direkodkan awal pagi ini.

"Terdapat tujuh bahagian yang masih terjejas akibat bencana tersebut iaitu Kota Samarahan, Serian, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Limbang," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Kota Samarahan mencatatkan jumlah mangsa yang paling ramai iaitu 1,782 orang, diikuti Serian (1,208), Bintulu (648), Sibu (597), Limbang (280), Mukah (95) dan Sarikei (8).

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Jabatan Pendidikan Sarawak turut melaporkan terdapat 43 sekolah terpaksa ditutup akibat banjir.

Tambahnya, penutupan sekolah-sekolah berkenaan menjejaskan 5,380 murid dan pelajar, 677 guru serta 249 staf sokongan.

"Terdapat 11 sekolah ditutup kerana dijadikan pusat pemindahan sementara banjir, manakala selebihnya ditutup kerana kawasan sekolah dinaiki air banjir," ujarnya.