Sebanyak tujuh pusat pemindahan sementara beroperasi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating, SK Sungai Ular, SK Sungai Karang, SK Kempadang, SK Beserah, SK Sungai Isap Murni dan Dewan Orang Ramai Balok.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau berpuas hati dengan pengurusan di pusat pemindahan sementara banjir yang lebih teratur dan selesa berbanding sebelum ini.

Beliau menjangkakan mangsa-mangsa banjir dapat pulang secara berperingkat ke rumah masing-masing bermula esok jika cuaca baik seperti petang ini berterusan.

"Kita melakukan persediaan seperti biasa untuk berdepan gelombang kedua banjir yang mana banjir adalah perkara rutin yang berlaku pada musim tengkujuh di Pahang" katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mempertimbangkan bantuan kepada mangsa banjir yang terjejas dan mengalami kerugian akibat musibah berkenaan.

Katanya, kerajaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dalam menyalurkan bantuan dan ia tidak boleh dilakukan secara sekali gus.

"Itu kemudian (bantuan untuk mangsa banjir), kita ada SOP dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat penilaian.

“Apa pun ia bergantung kepada keadaan kewangan kerajaan," katanya. - UTUSAN ONLINE