Timbalan Menteri Luar Senator Datuk Marzuki Yahya berkata, pihaknya mengalu-alukan sekiranya ada NGO yang ingin tampil menghulurkan bantuan di kawasan bencana atau mengutip dana yang akan disalurkan ke kawasan terbabit.

Menurutnya, banyak NGO dilaporkan tampil memberikan sumbangan namun ia haruslah dibuat mengikut saluran yang betul bagi mengelakkan sebarang masalah di lokasi yang terjejas selain memudahkan koordinasi.

“Wisma Putra amat mengalu-alukan bantuan daripada NGO yang prihatin dengan nasib mangsa dan banyak pihak telah tampil sebelum ini untuk menghulurkan bantuan sama ada makanan, ubat-ubatan atau keperluan lain.

“Namun kita mengharapkan ada koordinasi dengan setiap misi bantuan dimaklumkan kepada Wisma Putra dan kita akan maklumkan kepada pihak kedutaan di Jakarta,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum peringkat negeri Pulau Pinang di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE