Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd. Noor berkata, majlis itu menyumbang wang tunai dan barang keperluan harian seperti makanan, minuman, peralatan mencuci, dan menyediakan makanan kepada petugas dan ubat-ubatan bernilai RM25,000.

Raja Muda Perlis yang juga yang DiPertua MAIPs Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyerahkan sumbangan itu kepada timbalan pengerusi Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) cawangan Perlis, Mohd Isa Abdul Karim di Masjid Sematang Serdang, Simpang Empat di sini, semalam.

“MAIPs dan DPIM bekerjasama dalam program kemanusiaan ini termasuk berganding bahu membersihkan rumah-rumah mangsa sebagai lambang solidariti kedua-dua pihak dalam membantu mangsa-mangsa banjir,” kata Mohd Nazim.

Katanya seramai 20 orang kakitangan MAIPs dan ahli DPIM Perlis akan menyertai petugas yang mewakili agensi-agensi pengurusan zakat seluruh negara termasuk Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) di Gurun, Kedah bagi memulakan misi bantuan, hari ini.

Dalam titahnya Tuanku Syed Faizuddin menasihatkan mangsa-mangsa banjir agar mengutamakan langkah keselamatan dalam membuat kerja-kerja untuk mengelak kejadian seperti terkena kejutan elektrik dan memakai kasut serta sarung tangan. - BERNAMA