Kejadian kira-kira pukul 8.15 pagi itu turut menyebabkan empat keluarga terbabit tinggal sehelai sepinggang.

Mangsa, Isyani Ismail, 41, berkata, ketika kejadian dia tertidur selepas menjerang air dan tersedar apabila terhidu asap yang datang daripada arah dapur rumahnya.

“Saya terkejut apabila melihat api sedang marak di dapur. Saya segera keluar dan memanggil jiran untuk membantu memadamkan kebakaran namun api sudah semakin marak membakar rumah saya dan jiran lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi mangsa, Mohd. Azri Che Seman, 41, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas jirannya menjerit meminta tolong.

Ujarnya, dia sempat membantu memadamkan kebakaran di rumah jirannya itu, namun api semakin besar dan membakar rumah bersebelahan.

“Kami mengambil keputusan mengeluarkan kenderaan dan motosikal ma­sing-masing ke tempat selamat. Namun, kami tidak sempat menyelamatkan pakaian dan perabot kerana api merebak terlalu cepat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.18 pagi sebelum bergegas bersama 18 anggota ke lokasi kejadian.

“Tiada kemalangan jiwa serta kece­de­raan dilaporkan dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan,” katanya.