Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 petang itu, kenderaan berat berkenaan telah merintangi jalan lalu menghalang pergerakan trafik.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 1.31 petang.

Katanya, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan digerakkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

"Setibanya di sana, anggota bomba mendapati sebuah lori tangki minyak dalam keadaan terbalik dan merintangi laluan itu.

"Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kenderaan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum pasukan bomba melakukan kerja-kerja pembersihan kesan tumpahan minyak di situ," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Tambahnya, buat masa ini operasi mengalihkan kenderaan berat itu sedang dijalankan. - UTUSAN ONLINE