Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah, Mohd. Zakaria Ramli berkata, kejadian pada pukul 7.46 pagi itu dipercayai berlaku apabila lori terbabit cuba mengelak sebuah kereta yang berpusing di hadapannya sebelum terbabas dan bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga dari arah bertentangan.

“Kemalangan mengakibatkan lori yang datang dari arah Kuala Pilah ke Juasseh itu terbabas dan terbalik di lereng bukit sedalam tiga meter manakala kereta Proton Saga itu terbabas ke tepi jalan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, pemandu lori dan kereta terbabit mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Natijah di sini manakala kelindan lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd. Zakaria berkata, kemalangan menyebabkan muatan minyak diesel yang dibawa lori berkenaan tumpah dan mengalir ke anak sungai berhampiran.

“Kerja-kerja pembersihan serta pemindahan minyak sedang dijalankan dan pihak Jabatan Alam Sekitar turut berada di lokasi kerana tumpahan itu menyebabkan pencemaran,” katanya. - UTUSAN ONLINE