Penolong Pengarah (Operasi) Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, dalam kejadian pukul 2.30 petang itu, pemandu van yang merupakan warga tempatan patah tangan kiri manakala empat penumpang warga Indonesia cedera.

"Salah seorang daripada penumpang tersebut yang berusia 77 tahun mengalami cedera parah.

"Bagaimanapun, tiga lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas Toyota Hilux terbabas lalu merempuh van persiaran yang membawa 13 penumpang warga Indonesia termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun.

"Pihak bomba menerima panggilan pada pukul 2.50 petang dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian bersama sembilan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Senawang untuk memberikan bantuan," katanya.

Ujarnya, lima mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut. - UTUSAN ONLINE