Api menyambar dengan pantas, dan tiada apa yang mampu diselamatkan, namun pasangan suami isteri yang tinggal di rumah sewa bersama tiga anak mereka mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Che Shaari Abdullah berkata, bomba dengan kekuatan 28 anggota dan lima jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kira-kira pukul 4.30 petang.

"Jumlah kerugian dianggarkan RM110,000 termasuk rumah dan peralatan di dalamnya," katanya kepada pemberita ketika dihubungi di sini.

Kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang meluangkan masa menziarah dan memberikan sumbangan peribadi meredakan sedikit kedukaan keluarga Azral Affendy Ismail, 40.

Ahmad Razif berkata, kerajaan negeri akan melihat bentuk bantuan yang boleh diberikan dengan merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

"Di samping itu saya sudah mengarahkan Yayasan Terengganu untuk segera membantu tiga anak mangsa yang masih bersekolah dari segi penyediaan kelengkapan termasuk pakaian dan buku agar tidak menjejaskan pembelajaran mereka," katanya. - UTUSAN ONLINE