Mangsa, Mohd. Rashid Moktar, 45, dikatakan terjun ke laut untuk menyelamatkan botnya sewaktu memancing bersama seorang rakan di kawasan tersebut.

Mayat lelaki itu yang berasal dari Kilometer 23.3, Jalan Jasin di sini ditemukan oleh nelayan pukul 11 pagi ini selepas 18 jam hilang di laut.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa pergi memancing di lokasi berkenaan bersama rakannya menaiki sebuah bot pada pukul 5 petang semalam.

Bot yang dinaikinya dipercayai hanyut ketika diikat di kelong menyebabkan lelaki itu bertindak terjun ke laut untuk menyelamatnya sebelum hilang.

Operasi digerakkan bagi mencari dan menyelamat mangsa sebelum mayat lelaki itu ditemui pagi tadi, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut Arshad, operasi mencari dan menyelamat mangsa di­sertai oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat, polis marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selain persatuan nelayan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat, katanya.