NURUL INTAN NADIA
NURUL INTAN NADIA

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.15 petang itu, mangsa, Nurul Intan Na­dia Muhd Rad­zi, 17, yang tinggal di Taman Sejati Indah, Sungai Petani dikata­kan lemas ke­tika sedang me­nyelam di kawasan itu.

Rakannya, Nur Alina Ramli, 16, memberitahu, mereka memasuki pusat perkelahan itu kira-kira pukul 12.30 tengah hari ini setelah tiba ke pulau tersebut untuk bercuti semalam.

“Sebelum datang ke sini, kami terlebih dahulu bersiar-siar di sekitar Pantai Chenang. Apabila tiba ke sini, arwah sememangnya kelihatan teruja untuk mandi di kawasan air terjun ini.

“Ketika kejadian, arwah sedang mandi di air terjun tingkat bawah bersama dua lagi rakan kami. Kejadian berlaku apabila Nurul Intan menyelam di kawasan yang agak dalam dan kedua-dua mereka kemudiannya panik apabila dia tidak timbul,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambahnya, arwah seorang yang periang dan tidak lokek berbelanja untuk rakan-rakan.

“Kami tak sangka arwah akan meninggal dunia di depan kami, rakan-rakan rapatnya,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Hisham Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.23 petang sebelum menghantar sepasukan lapan anggota bersama dua jentera termasuk Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi.

“Sebaik saja tiba di lokasi, kami dapati mayatnya telah ditemui dan dibawa naik ke darat oleh orang awam. Pegawai dari Jabatan Kesihatan yang berada di lokasi turut mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

“Ekoran daripada itu kami hanya mampu membantu membawa turun mayat ke kawasan meletak kereta sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.