MAYAT Mohamad Syah Amir Shahimi ditemukan dalam jarak dua meter dari lokasi tenggelam di Malim Nawar, Kampar, semalam.

Mangsa, Mohammad Syah Amir Shahimi, 23, menjala di lombong ber­kenaan bersama abang ipar dan seorang rakannya.

Bagaimanapun, jala yang ditebarkan mangsa telah tersangkut dan dia kemudian menyelam untuk melepaskannya sebelum tenggelam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Meor Mohd. Ali Meor Hussien berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa itu dike­tuai Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah, Zainal Wok.

Menurutnya, seramai 16 anggota bomba dari Kampar dan Batu Gajah dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.45 pagi.

“Operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan mengikut arah yang ditunjukkan oleh abang ipar mangsa. Mayat lelaki itu dijumpai dalam jarak dua meter dari lokasi dia tenggelam pada pukul 11.40 pagi.

“Mayat mangsa kemudiannya segera dibawa naik ke tebing dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superinten­den Ng Kong Soon berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat pada pukul 12.15 tengah hari.

“Hasil bedah siasat mendapati kematian mangsa akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.