Jurucakap bomba berkata, mangsa, Liew Teck Ngieng, 64, mengalami luka melecur kira-kira 12 peratus di bahagian belakang badannya.

Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, tiga lagi anggota keluarga mangsa termasuk dua kanak-kanak terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang menerima laporan tentang kebakaran itu telah menghantar 12 anggota diketuai Steven Dudley Dasu ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi pemadaman.

"Turut membantu dalam operasi tersebut ialah tiga anggota bomba sukarela Engkili," katanya ketika dihubungi di sini pagi ini.

Beliau berkata, tiba di tempat kejadian pada pukul 11.20 malam, sebuah rumah kediaman setingkat didapati telah terbakar 100 peratus.

Katanya, kerja-kerja memadam api segera dijalankan dan operasi ditamatkan pada pukul 12.05 tengah malam.

Tambahnya, mangsa yang cedera telah dihantar oleh orang awam ke hospital sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

"Punca Kebakaran dan jumlah kerugian dialami keluarga berkenaan masih dalam siasatan," katanya. - UTUSAN ONLINE