Dalam kejadian pukul 10 malam itu, mangsa,Tan Ah Chuan,62, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, lori kontena dipandu mangsa dari arah Bintulu ke Sibu hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik di bahu jalan.

“Insiden itu menyebabkan mangsa tercampak keluar dan dihempap lori dipandunya” kata beliau ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE