Mangsa berusia 73 tahun itu ditemukan oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 11.20 pagi di trek di dalam hutan persimpangan FRIM dan Taman Rimba Komenwel berhampiran lokasi kejadian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd. Sani Harul berkata, sebanyak 53 anggota dan pegawai terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat iaitu dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang, Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), unit pengesan anjing (K9) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (Mosar).

“Pasukan penyelamat berjaya membawa turun mangsa ke pusat operasi kira-kira pukul 12.15 tadi.

“Mangsa mengalami kecederaan ringan dan kini dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE