Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, lelaki berusia 37 tahun itu maut selepas kereta Honda Accord yang dinaikinya terbabas memasuki lorong bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, akibat perlanggaran itu, tayar lori tersebut tercabut sebelum dilanggar pula sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Ujar beliau, mangsa merupakan penumpang belakang kereta itu dan maut kerana kecederaan parah pada bahagian kepala selain patah kedua-dua belah tangan dan rusuk kanan.

Katanya, pemandu dan penumpang hadapan kereta itu pula mengalami kecederaan parah masing-masing pada bahagian muka dan badan dan kini dirawat di Hospital Kepala Batas di sini.

“Pemandu pacuan empat roda iaitu wanita berusia 32 tahun pula cedera di bahagian kaki kanan manakala penumpangnya serta pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE