Timbalan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Superintenden Sarifudin Mohd. Salleh berkata, hasil siasatan mendapati kejadian kira-kira pukul 12.30 malam itu berlaku ketika kereta Hyundai Sonata yang dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan.

“Kereta mangsa kemudian terbabas ke bahagian kanan dan melanggar tiang konkrit jejambat. Akibat kemalangan itu, pemandu kereta yang dikenali sebagai Abdulsalam Mohamad Turkmani, 24, tercampak keluar lalu dihempap kenderaannya.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk proses bedah siasat manakala rakannya, Muhamad Al-Saraj tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN ONLINE