Dalam kejadian sekitar pukul 2.45 pagi itu, mangsa, Voon Kim Lee, 38, maut manakala tujuh lagi mangsa selamat.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba negeri, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kebakaran tersebut pada pukul 2.51 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau dihantar ke lokasi kejadian untuk operasi pemadaman.

“Setibanya di tempat kejadian tiga minit kemudian, dua umah terbabit telah terbakar 100 peratus.

“Setelah api berjaya dipadamkan sepenuhnya, terdapat seorang mangsa lelaki dijumpai di bahagian bilik mandi dalam keadaan tertiarap dan disahkan mangsa meninggal dunia oleh pihak kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini pagi ini.

Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, katanya, seorang pegawai bomba, Waslie Kontil Ambi  mengalami kecederaan akibat ditimpa struktur dinding konkrit yang runtuh ketika operasi pemadaman dan dikejarkan ke hospital.

“Setelah diperiksa beliau mengalami kecederaan ringan dan telah dibenarkan pulang,” ujarnya.

Beliau berkata, operasi ditamatkan pada pukul 4:40 pagi.-UTUSAN ONLINE