Dalam kejadian kira-kira pukul 11.56 pagi itu, Alfian Abd. Jamil, 40, yang merupakan kakitangan Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban patah tulang paha kiri dan kanan selain luka di tangan kiri akibat dihempap pokok kelumpang setinggi enam meter.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pertang, Hashim Mohd. Yusof berkata, seramai lapan anggota bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.56 pagi.

"Pokok itu menghempap kedua-dua paha mangsa sewaktu dia sedang membersihkan kebun durian di lereng bukit bersama abang dan pemilik kebun berkenaan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, anggota bomba terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer kerana jentera bomba tidak dapat masuk ke lokasi kejadian yang terletak di kawasan berbukit.

Tambahnya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jelebu untuk rawatan lanjut. - UTUSAN ONLINE