Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, mangsa, Sham Farishah Othman, 31, ditemukan dalam keadaan terlentang di tepi pokok berkenaan oleh sepupunya, Nor Azan Ismail, 42.

Mangsa yang menghidap penyakit sawan ditemukan dalam keadaan masih memegang plastik dipercayai untuk mengambil buah ciku.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Noh Idris berkata, mangsa ditemukan sepupunya yang memaklumkan mangsa jatuh dari pokok ciku setinggi kira-kira tiga meter.

"Pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk dibedah siasat," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambahnya, pihaknya masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut. - UTUSAN ONLINE