Dalam kejadian kira-kira pu­kul 8 pagi itu, lelaki yang berusia 25 tahun disahkan maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munu­samy berkata, mangsa dan ibunya menetap di Desa Rejang namun datang menginap di rumah kedua mereka itu semalam atas ajakan mangsa yang mengatakan sudah lama tidak berkunjung ke kediaman tersebut.

Menurutnya, ketika ibu mang­sa berada di dapur menyiapkan sarapan pagi, mangsa dilihat duduk di atas tebing koridor de­ngan badan menghala ke luar.

“Ibu mangsa kemudian bergegas memegang lengan mangsa dan meminta dia turun seterus­nya membawa mangsa ke dalam rumah. Ibu mangsa kemudian menegur mangsa supaya jangan melakukan perbuatan itu lagi lalu sambung melakukan kerja di dapur.

“Selepas beberapa minit, ibu mangsa terdengar dentuman kuat dan mendapati pintu telah terbuka. Wanita itu juga mendengar suara orang menjerit dan mendapati mangsa berada di bawah blok dipercayai terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Munusamy, mangsa tidak bekerja dan mempunyai rekod rawatan mental di Institut Kaji Saraf, Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Mayat mangsa telah dise­rahkan kepada pihak forensik HKL untuk proses bedah siasat,” ujarnya.