Dalam kejadian pukul 5 pagi itu, mangsa D. Shubassh, 21, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di anggota badannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Nadzri Hussain berkata, ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Klang, Selangor itu memandu Proton Iswara.

“Siasatan mendapati kenderaan dipandu mangsa dari arah Kerinchi ke Semantan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya di sini hari ini.

Jelas Mohd. Nadzri, mayat mangsa telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE