Dalam kejadian kira-kira pukul 6.50 petang itu, mangsa, Moh Woon Chai, 56, disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan akibat kecederaan parah dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, kejadian tersebut turut mengakibatkan seorang wanita Indonesia yang menaiki kereta jenis Toyota Corolla itu cedera.

Katanya, sebelum kejadian mangsa bersama wanita berkenaan dikatakan dalam perjalanan menuju ke pusat bandar Bintulu dari arah Kidurong.

“Tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu merempuh sebatang pokok di bahu jalan berkenaan.

“Rempuhan itu mengakibatkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan maut di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi pagi ini.

Alexson menambah, wanita yang bekerja sebagai pekerja restoran bersama mangsa turut mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Bintulu untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke hospital sama untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.