Dalam kejadian pada pukul 12.20 tengah hari itu, mangsa berusia 43 tahun menunggang motosikal jenis Kawasaki Z800 meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku sewaktu sebuah treler yang membawa muatan besi konkrit bangunan berhenti di bahagian lorong kiri lebuh raya.

Jelasnya, pemandu yang berusia 27 tahun kemudian turun daripada treler untuk memeriksa brek kenderaannya.

“Sewaktu melakukan pemeriksaan, dia terdengar bunyi rempuhan pada bahagian belakang treler yang dilanggar motosikal.

“Kejadian berlaku ketika mangsa berkonvoi bersama-sama rakan-rakannya yang menunggang 10 buah motosikal lain dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Lenggong,” katanya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE