Dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 malam itu, mangsa, Mohammad Bolhassan Ismail, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepalanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Deputi Superintenden Bingkok John berkata, kejadian berlaku semasa mangsa dalam perjalanan menuju ke pusat bandar ini dari arah Simunjan.

Bagaimanapun, katanya, sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, sebuah 4WD jenis Toyota Hilux tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu merempuh motosikal mangsa.

“Rempuhan kuat mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepalanya.

“Pemandu Toyota Hilux pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE