Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.50 pagi, apabila mangsa, Reemey Rosman, 41, berasal daripada Taman Chempaka Sari, Batu 4, Kapar meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian perut dan kepala.

Ketua Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Klang Utara, Asisten Superintenden Mohammad Irwani Nooruldin berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan ke Meru dari Puncak Alam.

“Bagaimanapun, setibanya di lokasi kejadian, mangsa telah bergesel dengan sebuah lori sampah dari arah yang sama. Akibat daripada pelanggaran, mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Manakala, pemandu lori tersebut telah melarikan diri sebaik kemalangan tersebut. Buat masa ini, kita sedang mengenal pasti pemandu lori sampah tersebut yang dipercayai milik sebuah syarikat swasta,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Mohammad Irwani, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk dibedah siasat.

“Kita juga telah memaklumkan kejadian ini kepada keluarga mangsa dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE