Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut daripada orang awam pada pukul 11.50 pagi.

Menurutnya, saksi kejadian memberitahu, mangsa membuat kerja penyelenggaraan di tiang lampu isyarat tersebut bagi pembinaan Transit Aliran Massa (MRT).

“Saksi kemudian melihat mangsa rebah di atas jalan. Lelaki berusia 50 tahun yang bekerja di sebuah syarikat penyelenggaraan lampu isyarat itu kemudian disahkan maut oleh anggota paramedik yang tiba di lokasi.

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Munusamy berkata, pemeriksaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di lampu isyarat terbabit tidak mengesan sebarang arus elektrik.

“Tiada unsur jenayah dikesan setakat ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE