Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, Mohd. Firdaus Mohamed Yusoff, 30, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta jenis Nissan Almera yang dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar penghadang besi jalan.

Katanya, sebuah kereta Proton saga FLX yang dipandu lelaki yang belum dikenal pasti identitinya tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi kenderaan mangsa.

"Pelanggaran itu menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan maut di tempat kejadian manakala seorang rakannya tidak cedera.

"Pemandu Proton Saga FLX tiada di lokasi kejadian kerana telah dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurut beliau, mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE