Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, mangsa, Mohd. Fadzil Mohd. Zuki, 23 meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah manakala rakannya yang juga pemandu kereta berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, dalam kejadian itu, kereta yang dinaiki mangsa datang dari arah Machang menghala ke Kota Bharu.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu yang dipercayai rakan mangsa dipercayai tertidur sebelum kereta berkenaan hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan lalu melanggar sebatang pokok. 

"Ekoran daripada pelanggaran tersebut, mangsa yang merupakan penumpang tempat duduk hadapan tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ismail berkata, mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) untuk bedah siasat. 

"Sementara itu, siasatan masih diteruskan di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - UTUSAN ONLINE