Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu,  mayat mangsa, G.Muniandy, 50, hancur digilis beberapa kenderaan yang tidak sempat mengelak mangsa selepas dia dilanggar sebuah kereta jenis Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, mangsa melintas jalan menuju ke R&R itu kerana motosikal yang ditunggangnya kehabisan petrol apabila tiba di tempat kejadian.

"Mangsa dilanggar sebuah Perodua Myvi dari arah Seremban menuju Nilai yang tidak menyedari mangsa sedang melintas jalan. 

"Mangsa tercampak di atas jalan sebelum digilis beberapa kenderaan lain," katanya di sini hari ini. 

Mohd. Nor Marzukee berkata, kejadian itu menyebabkan tubuh mangsa hancur dan pihak bomba serta Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa lebih dua jam untuk mengutip cebisan mayatnya.

Kata beliau, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar di sini manakala pemandu Perodua Myvi terlibat, A. Tharmendra, 30, mengalami kecederaan pada tangan.

Menurut beliau, polis menemukan motosikal milik mangsa yang diletakkan kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - UTUSAN ONLINE