Dalam kejadian kira-kira pukul 11.25 pagi itu, mangsa, Ng Koor Min, 66, dikatakan sedang membersihkan bahagian enjin lori berkenaan sebelum kepala kenderaan berat itu terjatuh lalu menghempap tubuhnya.

Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dipercayai akibat sesak nafas.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan II, Munawir Md. Yusof berkata, seramai enam anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 11.25 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya diberitahu kepala lori berkenaan telah dinaikkan semula oleh rakan sekerja mangsa namun, tubuh Koor Min belum dialihkan.

"Pihak bomba yang tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan tertiarap di bahagian enjin lori.

"Anggota bomba mengambil masa lima minit untuk menurunkan mayat mangsa. Pemeriksaan awal menunjukkan lelaki itu tidak mengalami kecederaan serius namun, dipercayai maut akibat sesak nafas selepas dihempap kepala lori," katanya.

Tambahnya, mayat Koor Min diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk dibedah siasat. - UTUSAN ONLINE