Dalam kejadian kira-kira pukul 9.40 itu, mangsa yang dikenali sebagai Juan Manja, 50-an, dilaporkan meninggal dunia disyaki mengalami serangan jantung akibat terkejut.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, kebakaran rumah panjang itu menyebabkan 70 penduduk daripada 37 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

‘‘Kejadian kebakaran itu dilaporkan oleh tuai rumah, Langat Anthony Collin yang menghu­­bu­ngi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi pada pagi ini.

‘‘Walau bagaimanapun, anggota BBP Marudi tidak dapat segera membantu memadamkan kebakaran kerana rumah panjang itu terletak di kawasan terpencil iaitu memerlukan mereka menaiki bot yang mengambil masa kira-kira tiga jam perjalanan dari Marudi ke Baram,’’ katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, sepasukan anggotanya bertolak ke lokasi kejadian pada tengah hari untuk meninjau tempat kebakaran dan menjalankan siasatan lanjut.

Setakat ini, katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian ditanggung penduduk masih belum diketahui memandangkan siasatan masih dijalankan.

Tambah beliau, kebakaran itu memusnahkan sepenuhnya rumah panjang dua tingkat diperbuat daripada kayu yang mempunyai 37 pintu itu, manakala seorang penduduk disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.