Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, mayat Shamsudin Mat Jinin, 50, yang berasal dari Taman Gadong Jaya, Labu, ditemukan pada pukul 11.21 pagi tadi.

“Mayatnya ditemukan tersangkut pada kayu oleh pasukan penyelam bomba kira-kira 25 meter dari tempat dia dilaporkan tenggelam,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Zaldino Zaludin berkata, mangsa dan seorang rakannya pergi ke kolam tadahan air yang terletak di Lengkok Teknologi Techpark itu kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

Menurut beliau, lelaki itu dilaporkan masuk ke dalam kolam untuk mengambil itik yang terkena jerat dipasang mereka di kawasan itu.

“Semasa mangsa berenang untuk naik semula ke tebing, dia tiba-tiba tenggelam dan kejadian itu disaksikan oleh rakannya,” katanya.

Ujarnya, operasi mencari dan menyelamat melibatkan seramai 12 anggota bomba dan enam anggota polis dari Nilai. - UTUSAN ONLINE