Kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kemalangan jiwa berikutan penyewa rumah tersebut telah keluar dari kediaman itu kira-kira dua minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Wan Kamarul Azran Wan Yusuf berkata, saksi awal di tempat kejadian memaklumkan suspek berusia 40 tahun yang membawa parang telah mengamuk dengan memecahkan cermin tingkap sebelum membakar rumah tersebut dan melarikan diri.

Katanya, tindakan lelaki itu menyebabkan hampir keseluruhan rumah berkenaan musnah terbakar dengan pihak bomba mengambil masa kira-kira satu jam bagi memadamkan kebakaran.

“Berdasarkan rakaman percakapan pengadu yang merupakan abang suspek, rumah tersebut telah ditinggalkan oleh penyewa rumah kira-kira dua minggu lalu kerana suspek pergi ke rumah itu dengan membawa parang.

“Lelaki berusia 52 tahun itu juga mendakwa adiknya yang kadang-kala tinggal di rumah itu kurang siuman dan gemar bercakap seorang diri. Suspek juga sering mengamuk dan membawa parang serta mengatakan ada kawan selalu bersamanya,” katanya.

Menurut beliau, siasatan awal terhadap suspek yang berjaya diberkas mengaku melakukan perbuatan itu dan membakar rumah ibunya dengan mengunakan kain buruk dan pemetik api.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki terbabit yang juga merupakan penagih dadah mempunyai dua rekod lampau bersabit kes dadah.

“Kebakaran itu menyebabkan kerugian antara RM80,000 hingga RM100,000 dan siasatan kes tersebut dijalankan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE