Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, M. Kartikasan, 25, dipercayai cuba mengambil kunci motosikalnya yang tercampak ke dalam sungai tersebut sebelum dia tergelincir dan dihanyutkan arus deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Mohammad Idris berkata, kejadian itu disedari oleh seorang pemancing di sungai tersebut yang memaklumkan kepada pihak bomba pada pukul 3.49 petang.

"Mangsa dikatakan membuang sesuatu ke dalam sungai dari tebing dan secara tidak sengaja turut terlempar kuncinya yang diletakkan di dalam sebungkus plastik.

"Mangsa cuba mengambil plastik itu dari tebing sungai dengan menggunakan sebatang kayu, malangnya dia tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai itu," katanya di sini.

Mohammad berkata, seramai 18 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban serta Teluk Kemang termasuk lapan anggota pasukan penyelam terlibat dalam usaha mencari mangsa. - UTUSAN ONLINE