Mayat Muhamad Aiman Asyraf Abdul Rashid, 22, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 10.53 pagi.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam kelmarin, mangsa bersama tiga rakannya memancing di sungai berkenaan sebelum dia turun ke dalam sungai untuk mandi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd. Taufiq Abd. Sattar berkata, mangsa kemudiannya tenggelam di dalam air dan cuba diselamatkan oleh rakan-rakannya namun gagal.

"Pihak bomba dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 11.59 malam hari yang sama dan operasi mencari mangsa segera dijalankan melibatkan kawasan pencarian seluas tiga kilometer.

"Operasi diteruskan hari ini dengan meluaskan lagi kawasan pencarian sebelum mayat mangsa ditemukan dalam keadaan terapung kira-kira lima kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat," katanya.

Menurut Mohd. Taufiq, mayat mangsa dibawa naik ke tebing sungai dan pengesahan dilakukan bagi mengenal pasti identitinya sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE