Sehingga petang ini, Sulaili masih gagal ditemukan dan usaha mencarinya masih diteruskan.

Kejadian itu dikatakan berlaku ketika mangsa sedang membaiki paip saluran penyedut pasir bersebelahan rumah rakit bersama bapa mertua dan adik iparnya.

Menurut Che Deraman, menantunya tergelincir ke dalam sungai ketika hendak mengalihkan rumah pam ekoran air pasang.

“Awalnya saya tidak menyangka kejadian buruk akan berlaku kerana dia dilihat cuba berenang ke tebing seperti kebiasaanya. Saya juga membantu dengan membaling tong air ke arahnya namun gagal.

“Saya terkejut dan cemas apabila dia kelihatan tenggelam. Anak saya juga telah berenang untuk mencarinya kira-kira 100 meter dari tempat dia tenggelam namun tidak berhasil,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu , Che Deraman berharap orang ramai turut mendoakan agar usaha mencari menantunya berjaya dan mereka sekeluarga reda dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Machang Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, usaha pencarian diteruskan pada hari kedua dan pihaknya memperluaskan jarak kepada lima kilometer daripada tempat mangsa terjatuh. - UTUSAN ONLINE