Mangsa, Mohd Fazli Ibrahim, 30, yang tinggal di Kampung Kala di sini ditemukan pasukan mencari dan menyelamat berhampiran jambatan sementara Pulau Setelu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Mohd. Taufik Maidin ketika mengesahkan kejadian itu berkata, operasi bermula Selasa lalu setelah ahli keluarga membuat laporan kehilangan mangsa yang tidak pulang ke rumah.

Katanya, mayat mangsa ditemukan terapung di permukaan air pada pukul 4.15 petang semalam, kira-kira 500 meter dari lokasi motosikal jenis EX5 milik mangsa dijumpai.

“Operasi pencarian bermula pada 15 Ogos lalu pada pukul 8 pagi dengan anggota melakukan pencarian di kawasan motosikal mangsa berhampiran jambatan sementara Pulau Setelu.

“Semalam pada pukul 4.15 petang mangsa yang bekerja sebagai buruh kampung telah ditemukan oleh pasukan pencari. Jaraknya lebih kurang 500 meter daripada motosikal mangsa ditemui.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Taufik berkata, kes tersebut diklasifilasikan sebagai mati mengejut. - UTUSAN ONLINE