Ketua Polis daerah, Superintenden Zainudin Ahmad berkata, saksi bersama ahli keluarganya meletakkan kenderaan di sebelah kereta mangsa ketika datang untuk makan di sebuah kafe di situ kira-kira pukul 6.30 petang.

“Ketika itu dia ternampak mangsa dalam keadaan sedang tidur di dalam kereta dengan enjin kenderaan dihidupkan.

“Bagaimanapun, apabila saksi selesai makan dan mahu pulang kira-kira pukul 9 malam, dia melihat mangsa masih berada di dalam kenderaan dan dipercayai tidak sedarkan diri,” katanya di sini hari ini.

Zainudin berkata, saksi kemudian menghubungi polis dan sepasukan anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian memecahkan cermin tingkap kereta mangsa yang kemudiannya disahkan sudah meninggal dunia.

“Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kesan pergelutan atau kecederaan. Bagaimanapun, terdapat sebuah bikar tanah berisi arang masih dalam keadaan panas ditemukan di bahagian kaki tempat duduk penumpang hadapan,” katanya.

Mayat lelaki yang berasal dari Klang, Selangor itu dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. - UTUSAN ONLINE