MARÀNG 14 Jan. - Seorang lelaki dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun ke dalam sungai Marang, berdekatan Kampung Bukit Gasing di sini petang semalam.
Mangsa, Abu Bakar Sidek, 28, dilaporkan hilang dihanyutkan arus sebaik sahaja dia terjun ke sungai tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Penolong Penguasa Yahaya Hanapi berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pukul 4.50 petang semalam.
"Anggota kami telah berusaha melancarkan gerakan mencari selepas menerima panggilan kecemasan, namun mangsa gagal ditemui.
"Gerakan dihentikan sementara pada pukul 7 malam tadi berikutan keadaan cuaca agak gelap, namun pemantauan di lokasi berkenaan masih diteruskan," katanya ketika ditemui ditempat kejadian.
Menurut Yahaya, operasi diteruskan semula sejak pagi tadi melibatkan 31 anggota pasukan penyelamat di air terdiri daripada 14 anggota JBPM Marang, tujuh anggota dari balai Kuala Terengganu dan 10 Anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Bagaimanapun, sehingga pukul 2 petang ini, gerakan mencari mangsa yang berasal dari Kampung Bukit Gasing di sini masih menemui jalan buntu.- UTUSAN ONLINE