Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Daerah Maritim 2 negeri, Kepten Maritim Rozali Mohd. Said berkata, pihaknya menerima panggilan daripada rakan mangsa yang memaklumkan lelaki berusia 21 tahun itu sedang menahan kesakitan di tiang ke-60 jambatan berkenaan, kira-kira pukul 11.40 pagi tadi.

“Sebuah bot penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian dan mangsa dihantar ke Jeti Pasukan Penguat Kuasa Maritim (PPM) Batu Uban pukul 12.20 tengah hari sebelum diserahkan kepada ambulans,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Rozali memberitahu, pihaknya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang dikendalikan seorang tekong berusia 50 tahun bersama dua awak-awak berusia 24 dan 27 tahun yang dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Jelasnya, dalam operasi pukul 6.40 pagi semalam, pihaknya mendapati nelayan terbabit melanggar Akta Perikanan 1985 iaitu pemilik bot berkenaan tidak mengusahakan sendiri bot miliknya.

“Bot Maritim Malaysia membawa kesemua lelaki yang ditahan ke Jeti PPM Batu Uban bagi menjalankan siasatan lanjut manakala Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menjalankan ujian air kencing terhadap ketiga-tiga mereka.

“Hasil ujian, dua daripada suspek didapati positif dadah jenis morfin dan methampetamine sebelum dibawa ke pejabat AADK negeri untuk tindakan lanjut,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan nelayan atau orang awam supaya mematuhi undang-undang bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutama ketika berada dalam kawasan perairan negara. - UTUSAN ONLINE