Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, Mansor Yahaya, 60, yang buta sejak daripada kecil lagi, tinggal seorang diri di dalam rumah tersebut.

Menurut anak saudaranya, Rohayu Johari, 47, dia dan lelaki tersebut sebelum ini tinggal bersama-sama di Taman Batik dekat sini, sebelum Mansor berpindah dan tinggal di rumah itu seorang diri sejak 2014.

Katanya, dia mendapat tahu tentang kebakaran tersebut setelah dihubungi anak lelakinya.

“Sejak berpindah, sayalah yang datang dan menguruskan makan dan minum Mansor. Dia ada mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini tetapi telah dipotong,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Bomba Sungai Petani, Pegawai Bomba Kanan II Khairi Baharuddin berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kebakaran sebaik sahaja menerima panggilan.

“Kebakaran itu melibatkan sebuah rumah kelas A yang apinya bermula di bahagian ruang dapur dan anggaran kemusnahan adalah 40 peratus.

“Hasil pemeriksaan terdapat seorang mangsa berada di dalam bilik belakang di dalam rumah tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri berikutan asap tebal. Mangsa kemudian dihantar ke hospital dengan menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Sungai Petani,” katanya.

Menurut beliau, api dapat dipadam kira-kira 10 minit selepas kejadian dan punca kebakaran masih dalam siasatan. - UTUSAN ONLINE