Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Telok Kemang, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan lelaki berusia 30-an itu bertindak demikian kerana ingin membunuh diri.

Ujarnya, ini berdasarkan maklumat daripada seorang pemancing yang ternampak lelaki itu berenang ke tengah laut dan kemudian hilang daripada pandangannya.

“Saksi kemudian menghubungi pihak bomba pada pukul 10.16 malam bagi mendapatkan bantuan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Kamal berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada bomba, polis dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah digerakkan untuk mencari mangsa.

Katanya, pihak berkuasa bagaimanapun belum menerima laporan mengenai orang hilang yang boleh dikaitkan dengan insiden tersebut.

“Sehingga pagi ini, mangsa belum dapat dikesan dan operasi sedang dijalankan,” katanya. - UTUSAN ONLINE