Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi, suspek yang tinggal di taman perumahan sama dipercayai berbuat demikian kerana berang apabila suami kekasihnya itu membawa pulang wanita tersebut ke kampung halamannya di Baling setelah pasangan suami isteri berkenaan dan ahli keluarga mereka diugut bunuh oleh suspek, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 24 tahun yang tidak bekerja itu dipercayai mempunyai hubungan sulit dengan wanita berusia 33 tahun yang juga ibu kepada empat cahaya mata.

“Dalam kejadian pagi tadi, tiada penghuni di rumah tersebut selepas suami wanita itu yang berumur 35 tahun membawa pulang isteri dan anak-anak mereka ke kampung kerana khuatir dengan ugutan bunuh yang dibuat suspek semalam.

“Suami wanita itu juga berbuat demikian bagi menghalang isterinya daripada berjumpa dengan suspek dan lelaki itu hanya mengetahui rumahnya terbakar selepas mendapat panggilan telefon daripada adiknya,” katanya di sini hari ini.

Tambah Adzli, siasatan awal pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di lokasi kejadian menemukan satu besi pengumpil di halaman rumah tersebut dan satu penutup botol yang berbau petrol.

Kata beliau, suspek yang mempunyai empat rekod lampau termasuk kesalahan jenayah dan dadah berjaya diberkas kira-kira 200 meter dari tempat kejadian tidak lama kemudian selepas polis menerima maklumat awam berhubung kebakaran itu.

“Dalam kejadian itu, rumah jiran pasangan suami isteri itu turut terbakar dan penghuninya ada memaklumkan terdengar bunyi seperti cermin dipecahkan sebelum ternampak seorang lelaki sedang melarikan diri.

“Berdasarkan maklumat yang kami terima suspek yang sudah berkahwin dan kekasihnya itu dipercayai sama-sama menagih dadah dan wanita itu juga dalam proses bercerai dengan suaminya,” ujarnya.

Menurut Adzli, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, Seksyen 435 kerana melakukan khianat dengan api dan Seksyen 498 kanun sama kerana memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang wanita yang bersuami. - UTUSAN ONLINE