Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 pagi, mangsa yang dikenali sebagai Sang Lai Wah dilapor meninggal dunia di tempat kejadian selepas tempat sembahyang berukuran 30 kaki persegi (0.09 meter persegi) yang terletak di tingkat bawah kediamannya dari jenis teres dua tingkat itu terbakar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Azmi Osman berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 7.53 pagi sebelum dua jentera FRT bersama-sama 13 anggota termasuk dari Unit Anggota Penyelamat dan Paramedik (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas serta BBP Kota Raja tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

“Bagaimanapun, api berjaya dipadamkan kira-kira pukul 8.05 pagi selepas mangsa dikeluarkan dalam tempoh seminit sebelum itu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Semasa ditemukan, mayat mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kita percaya mangsa mungkin lemas semasa kejadian berkenaan.

“Bagaimanapun, punca sebenar kematian mangsa kita serahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Tambah Azmi, setakat ini pihaknya masih menyiasat punca sebenar kejadian termasuk jumlah kerugian. - UTUSAN ONLINE