Usop Ching, 39, berkata, dia menggunakan segala tenaganya untuk memastikan anaknya, Dee yang berusia sembilan tahun lepas daripada cengkaman haiwan itu, namun gagal.

“Saya memukul dan menendang beruang itu berkali-kali, namun tidak memberikan ke­san. Saya juga menggunakan batu dan kayu tetapi binatang tersebut tetap tidak mahu melepaskan anak saya. Selepas 30 minit, baru beruang itu melepaskan anak saya dan melarikan diri ke dalam hutan berhampiran,” katanya yang turut cedera kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini me­laporkan seorang budak cedera parah di muka selepas dicakar oleh seekor beruang ketika bersama ayahnya di kawasan hutan tersebut petang kelmarin.

Usop Ching
Usop Ching

Menurut Usop, kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu berlaku ketika dia dan anaknya baru selesai menebas dan membersihkan kawasan semak dekat kebun buah-buahannya.

“Disebabkan cuaca panas, kami mandi di Sungai Lebir Kecil. Saya berada dalam sungai manakala anak saya di tebing. Tiba-tiba muncul seekor beruang berwarna hitam terus meluru ke arah anak saya, beruang itu mencakar anak saya menyebabkan dia mena­ngis dan menjerit, saya terus menuju ke arah beruang itu dan memukulnya,” katanya.

Menurut Usop, dalam keadaan kesakitan dia menggendong anak­nya untuk mendapatkan bantuan.

“Saya hanya mampu menangis melihat anak yang kesakitan. Saya terpaksa berhenti beberapa kali kerana keletihan dan hampir sejam berjalan saya bertemu dengan seorang pekerja ladang yang membawa kami ke klinik untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Aring 5, Rama Batu berkata, pihaknya telah membuat laporan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memantau haiwan itu di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Tambahnya, ketika ini penduduk kampung tidak berani ke hutan sendirian kerana takut terserempak dengan haiwan itu kerana ini merupakan kejadian pertama yang berlaku di kawasan tersebut.